Ingatan adalah seumpama baju yang indah…

May 3, 2008

Kita sering lupa. Lupa apa yang kita baca (khususnya berupa fakta), lupa tarikh penting, lupa telefon kawan, lupa balas sms, lupa letak barang, lupa makan ubat, lupa tutup kipas, lupa arah jalan, lupa nama orang dan macam-macam lagi.

Kenapa ya kita sering lupa?

Saya memetik pandangan Hermine Hilton, seorang pakar dalam bidang daya ingatan. Beliau memberi kunci daya ingatan yang pada pandangan saya ‘simple tapi menarik untuk direnungi bersama’.

Menurut Hermine Hilton,

“Ingatan adalah seumpama baju yang indah. Semua orang mampu memilikinya tetapi tidak semua orang menggunakannya dengan sebaik mungkin. Jika baju yang cantik hanya disimpan di dalam almari, sampai bilapun orang tidak akan dapat menilai keindahannya. Jika baju itu anda pakai dan peragakan baharulah orang dapat menilai keindahannya dan anda dapat merasa keselesaannya. Oleh itu kunci daya ingatan adalah sama ada anda menggunakannya atau tidak. Lebih banyak anda menggunakannya maka lebih tajamlah daya ingatan anda…”

Tips menajamkan daya ingatan:

1. Amalkan Tidur Yang Cukup
1/3 hidup kita dihabiskan dengan tidur. Namun ada orang yang suka tidur lewat atau mengabaikan tidur yang cukup. Badan perlu rehat. Keletihan hanya akan mengganggu maklumat / data yang telah disimpan oleh otak dan juga menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yang baru. Oleh itu, amalkan tidur yang cukup di malam hari kerana ia dapat membantu daya ingatan kita berfungsi.

2. Mengawal Tekanan
Tekanan hanya akan membuat jiwa kita tidak tenteram dan menyebabkan kesihatan terganggu. Kita akan ebih cenderung untuk menjadi seseorang yang tidak peka dengan keadaan persekitaran. Kita juga tidak dapat berfikir dengan jelas dan daya ingatan juga terjejas. Oleh itu, kawal tekanan dengan baik seperti membaca Al-Quran, yoga, sauna, aromaterapi dan sebagainya (merenung bintang…hee hee).

3. Bersenam
Bersenam dapat menggerakkan otot-otot dan melancarkan peredaran darah ke otak. Oleh itu, daya ingatan kita juga akan menjadi lebih baik. Amalkan senaman walaupun sekadar berjalan kaki.

4. Elakkan Kemurungan
Kemurungan dalam hidup akan menyebabkan hidup kita tidak ceria. Kita sentiasa berada dalam keadaan tidak segar dan rasa kecewa. Lama kelamaan ia turut menjejaskan daya ingatan kita dan membuat kita tidak hirau dengan apa yang terjadi di persekitaran. Ubatilah kemurungan sebelum menjadi serius dengan berjumpa psikiatri atau beramal-ibadah mendekatkan diri kepada Tuhan.

5. Awasi Pengambilan Ubat
Daya ingatan mungkin menjadi lemah dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti pil hormon, ubat darah tinggi, anti-kemurungan dan sebagainya. Jika anda menghadapi masalah daya ingatan disebabkan pengambilan ubat, konsultasi dengan doktor. Jangan mengambil ubat tanpa arahan doktor.

6. Belajar Sesuatu yang Baru
Cubalah aktifkan pemikiran anda dengan mempelajari sesuatu yang baru misalnya ikutserta menghasilkan ‘blog’, berkursus tentang kemahiran tertentu atau menghadiri ceramah dan motivasi.

7. Bermain
Bermain sesuatu permainan yang dapat merangsang minda. Banyak permainan berteknologi kini boleh diperolehi secara percuma mahupun berbayar. Pilihlah jenis permainan yang mencabar minda.

8. Banyak Membaca
Jadikan amalan membaca sebagai kegiatan harian. Membaca dapat meluaskan pengetahuan, mengembangkan minda dan menajam daya ingatan. Cuba ingat sedikit-sebanyak fakta yang terkandung di dalam bahan bacaan.

9. Katakan Berulang Kali
Untuk meningkatkan daya ingatan tentang sesuatu maklumat atau tarikh, katakan dengan kuat dan berulang kali sehingga kita benar-benar ingat akan maklumat tersebut.

10. Fokus
Daya ingatan dapat dilancarkan sekiranya kita sering fokus dalam sesuatu perkara, contohnya matlamat hidup. Kita juga dapat belajar fokus dengan menumpukan fikiran pada sesuatu perkara dan mencatatkan apa yang anda fikirkan.

11. Bermain Dengan Angka
Dalam mengingati angka, kita mesti asah minda dengan cuba bermain dengan angka-angka tersebut seperti mengingati nombor telefon rakan-rakan, nombor kereta dsb.
Selain itu, kita boleh menghubungkaitkan angka-angka tersebut dengan sesuatu bagi meningkatkan daya ingatan.

12. Membaca Al-Quran
Amalkan membaca Al-Quran walau sehelai muka surat setiap hari. Membaca Al-Quran dapat menerang jiwa, menenangkan perasaan dan menajamkan daya ingatan dengan lebih baik.

(p/s - petua membaca al-Quran ni diamalkan oleh Siti Fatimah Mukhtar, Pelajar cemerlang SPM 2006 dari Kelantan – dari SMA Maahad Muhammadi Perempuan. Beliau berjaya mendapat 17A1 dan 1A2)


Petua pelajar cemerlang ‘U’

March 27, 2008

Ibrahim, 23, CPA : 3.91, ISMP.Manusia, UTM.
1. Banyak buat rujukan di perpustakaan untuk mantapkan persediaan menghadapi peperiksaan.
2. Banyak belajar secara bersendirian.

Shah Rizan Abd Aziz, 24, CPA : 3.90 , ISMSKOMP, UTM.
1. Persediaan sebelum menghadiri kelas pada esok harinya.
2. Memiliki displin diri yang tinggi dan konsisten dalam membuat ulangkaji, tanpa displin pelajar sukar capai kejayaan.
3. Bijak mengurus masa.
4. Banyak lakukan latihan.
5. Perlu rajin membuat nota.

Adi Azlan Ahmad Othman, 20, CPA : 3.61, ISMK.Mekanikal, UTM.
1. Gigih mentela’ah pelajaran.
2. Tidak lupa agar menunaikan solat dan berdo’a supaya diterangkan hati dan diberi kekuatan mental agar dapat menerima
pelajaran yang dipelajari.
3. Sebelum mula belajar sebaiknya memohon do’a
4. Guna peluang belajar sebaik mungkin.
5. Janan membazir masa melakukan perkara yang tidak bermanfaat.

Khairul Saleh Basaruding, 24, CPA : 3.59, UTM.
1. Yakin dengan usaha yang dilakukan.
2. Jangan mudah berputus asa.
3. Beri tumpuan kepada pelajaran yang diajar guru.
4. Tidak ponteng kuliah, pelajaran yang disampaikan oleh pensyarah itu banyak disentuh dalam peperiksaan.
5. Untuk kukuh pemahaman, pelajar perlu sering berbincang dengan guru.
6. Tak boleh bersikap menjauhi diri dari guru kerana guru sumber rujukan terbaik.
7. Berusaha meningkatkan keupayaan diri.


Petua tumpuan semasa belajar – Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D

March 27, 2008

Kegagalan memberikan tumpuan dalam kelas menyebabkan ramai pelajar gagal meraih keputusan yang baik dalam peperiksaan. Berikut adalah petua yang boleh digunakan untuk meningkatkan tumpuan anda:
• Semak seimbas nota yang telah diberikan oleh guru terdahulu sebelum memulakan kelas. Sekiranya ada bahagian yang anda tidak faham atau keliru maka tanyakan pada guru sebelum bermulanya kelas tersebut. Jangan biarkan ketidakfahaman atau kekeliruan itu mengganggu anda. Guru mungkin akan mengajar lebih mendalam hari ini dan sekiranya anda tidak merungkai kekeliruan itu anda akan terus ketinggalan dalam mengikuti apa yang diajar.
• Baca juga bahan yang bakal diajarkan oleh guru nanti. Walau pun anda tidak memahami keseluruhan apa yang dibaca sekurang-kurangnya anda tahu apa yang akan diajar oleh guru kelak. Secara tidak langsung tumpuan dan minat anda meningkat.
• Cuba duduk di barisan depan dalam kelas. Sekiranya anda duduk di tepi tingkap, tutup tingkap ketika guru mengajar.
• Jangan alih mata anda dari melihat guru dan lihat apa yang ditulis di papan hitam/putih.
• Tunjukkan minat yang mendalam. Perbetulkan kedudukan anda dan ceriakan wajah anda. Ingat apa yang diajar itu jauh lebih penting daripada siapa yang mengajar. Yakinkan diri anda betapa pentingnya tumpuan dalam kelas. Ingat!! Ia menyumbang 50% dari keseluruhan markah peperiksaan kelak.

• Pasang telinga. Dengar dan fahami setiap patah perkataan yang disampaikan. Terjemahkan apa yang disampaikan oleh guru ke dalam bentuk gambaran minda.
• Catat setiap fakta penting atau fakta yang anda sangka penting, sama ada fakta-fakta yang ditulis atau yang diucapkan oleh guru.
• Catat setiap perkara yang anda tidak faham. Catatkan juga setiap soalan yang terbit dalam fikiran anda. Gunakan tujuh perkataan berikut untuk membina soalan Apa? Siapa? Bila? Berapa? Dimana? Kenapa? Bagaimana?
• Gunakan buku khas untuk tujuan catatan ini, atau gunakan kaedah mengambil nota berkesan. Sekiranya berpeluang segera angkat tangan dan tanya guru. Tanya untuk dapatkan lebih huraian; tanya untuk memastikan kefahaman anda betul; atau tanya kerana ada soalan-soalan yang lebih spesifik. Antara tanda-tanda yang anda telah memberikan tumpuan ialah anda TAHU apa yang anda TIDAK TAHU.
• Jangan hiraukan sebarang gangguan dari rakan-rakan. Jangan bertindak balas terhadap usikan dan gurauan mereka ketika kelas berjalan.
• Kajian menunjukkan bahawa anda lupa 80% dari apa yang telah dipelajari dalam masa 24 jam. Oleh itu segera menyemak apa yang telah diajar serta merta apabila guru keluar dari kelas