Pahlawan Ngah Ibrahim: Penggalian semula pusara

March 31, 2008

ngahibrahim2.jpg

ngahibrahim1.jpg

KD Laksamana Mohamad Amin ialah antara empat buah korvet kelas Laksamana milik TLDM yang diberi nama sempena nama panglima Melayu dengan yang lain ialah KD Laksamana Hang Nadim, KD Laksamana Tun Jamil dan KD Laksamana Tan Pusmah.

Hari ini, KD Laksamana Mohamad Amin akan berlabuh di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor untuk membawa pulang jasad Laksamana Mohamad Amin Alang dan Orang Besar Jajahan Hilir Perak, Tengku Menteri Ngah Ibrahim selepas kerja menggali semula kubur mereka di sini, selesai.

Ngah Ibrahim dan bapa mentuanya, Mohamad Amin bersama-sama Sultan Abdullah, yang memerintah di Hilir Perak abad ke-19, ialah antara beberapa orang yang disabitkan dengan pembunuhan Residen British pertama di Perak, JWW Birch, di Pasir Salak pada 2 November 1875.

Berikutan penangkapan mereka, ketiga-tiganya dan Datuk Syahbandar Uda Maamor dibuang negeri ke Seychelles di Lautan Hindi pada 1877.

Orang Asli yang membunuh Birch, iaitu Si Putom, bersama Datuk Maharaja Lela serta bapa mentuanya, Pak Indut dan Datuk Sagor serta beberapa sekutu mereka dibicarakan atas tuduhan melakukan pembunuhan itu dan digantung di Matang pada tahun yang sama.

Selepas 16 tahun dalam buangan, Sultan Abdullah diampunkan oleh British dan dibenarkan kembali ke Perak dan tinggal di Kuala Kangsar sehingga kemangkatannya.

British bagaimanapun menolak rayuan Ngah Ibrahim, Mohamad Amin dan Uda Maamor untuk kembali ke Perak.

Mereka dihantar ke Sarawak dan ke Singapura di mana Ngah Ibrahim meninggal dunia pada 4 Februari 1895 dan Mohamad Amin pada 1908. Uda Maamor juga dipercayai meninggal dunia di Singapura.

Menurut Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, penggalian kubur Mohamad Amin di Pusara Aman di Choa Chu Kang diadakan pada jam 9 pagi ini dan penggalian semula kubur Ngah Ibrahim di Pusara Al-Junied di Jalan Kubur, mulai jam 10 pagi.

INFO: Tengku Menteri Ngah Ibrahim dan Laksamana Mohamad Amin Alang

  • Dituduh bersubahat membunuh Residen British yang pertama di Perak, JWW Birch, di Pasir Salak pada 2 November 1875.
  • Dibuang negeri bersama Sultan Abdullah dan Datuk Syahbandar Uda Maamor ke Seychelles di Lautan Hindi pada 1877.
  • British menolak permohonan pengampunan kedua-dua mereka untuk kembali ke Perak sebaliknya dihantar ke Sarawak dan kemudian ke Singapura.
  • Ngah Ibrahim meninggal dunia di Singapura pada 4 Februari 1895 dan Mohamad Amin pada 1908.
  • Pusara Mohamad Amin di Choa Chu Kang, Singapura akan digali semula jam 9 pagi ini manakala kubur Ngah Ibrahim di Jalan Kubur, Singapura pada jam 10 pagi.
  • Jasad Ngah Ibrahim akan dikebumikan semula di pekarangan Kompleks Muzium Matang manakala Mohamad Amin di Makam Diraja Perak di Bukit Chandan, Sabtu ini.

  • Rashid Maidin pemimpin PKM meninggal dunia

    March 31, 2008

    rashidmaidin.jpg

    BANGKOK 1 Sept. – Bekas pemimpin kanan Parti Komunis Malaya (PKM) yang dibubarkan, Rashid Maidin meninggal dunia pada usia 88 tahun di Sesakhoon, sebuah perkampungan di Narathiwat, Selatan Thai hari ini – sehari selepas Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-49.

    Menurut jurucakap tentera Thai, allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 9 pagi kerana sakit tua di rumah anak bongsunya, Kamariah, dan dikebumikan di situ selepas solat Jumaat.

    Rashid menyertai PKM pada tahun 1951 dan sebelum itu menjadi anggota jawatankuasa pusat Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) bersama beberapa orang nasionalis Melayu seperti Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Ahmad Boestamam dan Abdullah C.D di Perak.

    Rashid diberi kepercayaan oleh setiausaha dan pemimpin utama PKM, Chin Peng untuk memimpin Regimen ke-10 PKM di Bentong, Pahang.

    Rashid yang dilahirkan pada 10 Oktober 1917 di Kampung Gunung Mesah, Gopeng, Perak, melarikan diri ke dalam hutan berhampiran sempadan Malaysia/ Thailand selepas diburu pihak berkuasa Malaysia.

    Di situ, Rashid, yang sebelum itu telah berkahwin dan mempunyai seorang isteri di Gopeng, berkahwin dengan seorang gadis, ahli PKM bernama Latifah.

    Beliau mula dikenali selepas muncul semasa Perundingan Damai di Baling, Kedah pada tahun 1955 di antara perwakilan kerajaan Malaya yang diketuai Ketua Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dengan PKM yang diketuai Chin Peng.

    Rashid juga merupakan anggota dalam delegasi PKM ke British Empire Communist Parties Conference 1947 di London.

    Pada 1989, beliau turut serta semasa rundingan damai di Hatyai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand yang membawa kepada penamatan perjuangan bersenjata PKM.

    Selepas perjanjian dengan kerajaan Malaysia di Hatyai itu, Rashid menetap di perkampungan yang dinamakan “Perkampungan Malaysia” di sempadan Thai.

    Memoir Rashid Maidin “Daripada Perjuangan Bersenjata Kepada Perdamaian” yang merupakan koleksi peribadi beliau, menunjukkan Rashid fasih tiga bahasa.

    Sementara itu, Kamariah, 40, ketika menghubungi Bernama berkata, bapanya menghidap sakit tua sejak enam bulan lalu dan pernah menerima rawatan di Hospital Narathiwat.

    Allahyarham meninggalkan lima anak melalui dua perkahwinannya iaitu Johan Ariff, 69, Khairuddin, 58, Sudirman, 57, Rokiah, 50 dan Kamariah, 40, selain 50 cucu dan 20 cicit.

    Selepas peletakan senjata, beliau dikatakan pulang ke Malaysia menziarahi keluarganya sebanyak 12 kali.

    Allahyarham sebelum ini menetap di Chulaporn 11, Yaha dalam wilayah Yala bersama isterinya, allahyarham Salamah Abdullah yang meninggal dunia tahun lalu. Beliau berpindah ke Sesakhoon tahun ini.

    Allahyarham Rashid pernah dipenjarakan di Penjara Taiping, Pulau Jerjak, dan pusat tahanan Tanjung Beruas, di Melaka keseluruhan tempoh lebih tiga tahun.

    – Bernama


    Mat Saleh pahlawan negeri di bawah bayu

    March 31, 2008

    mat-salleh.jpg

    Datu Mat Salleh, lebih dikenali dengan mudah sebagai Mat Salleh, merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam penentangan yang hebat terhadap penjajahan British di Sabah. Beliau pernah mengisytiharkan daerah Tambunan sebagai daerah di bawah kekuasaannya.


    Mat Salleh ialah anak kedua dalam sekeluarga empat adik-beradik daripada suku Suluk Paitan.
    Ibunya daripada suku Bajau. Abangnya bernama Ali, sedangkan adik-adiknya bernama Badin dan Bolong. Isteri Mat Salleh yang bernama Dayang Bandang berasal daripada keluarga Sultan Sulu dan berkampung di Pengalaban, Paitan.


    Datu Mohammad Salleh mengambil tugas bapanya, Datu Balu sebagai ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjaan pentadbiran Datu Mat Salleh adalah daripada pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut pada tahun 1894.


    Inggeris tidak senang dengan tindakan Mat Salleh itu, lalu menyerang Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kampung Mat Salleh di Sungai Sugut pada tahun 1896.Datu Mat Salleh bagaimanapun dapat melepaskan diri. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Syarikat Berpiagam Borneo Utara bermula pada bulan Julai 1897.
    Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Kompeni di Pulau Gaya. Dalam tahun yang sama juga Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen Kompeni di Ambong.


    Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh. Seterusnya pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatan tentera yang lebih besar. Mat Salleh terpaksa mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.

    Kota utama Mat Salleh di Tambunan ini sangat sukar ditembusi. Kota ini diperbuat daripada batu-bata, kayu serta buluh tidak dapat ditembusi peluru. Setiap penjuru kota dikawal dan terdapat beberapa terowong atau jalan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan-bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh.

    Tidak lama kemudian, pihak Kompeni menawarkan perdamaian dan Mat Salleh bersetuju, walaupun ditentang orang-orangnya. Tetapi pada 1899, Kompeni cuba mengambil alih Tambunan daripada Mat Salleh dan menyebabkan peperangan tercetus kembali.


    Dan akhirnya pada 31 Januari 1900, kota Mat Salleh tumbang akibat serangan hebat Kompeni yang berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh.
    Dan peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.

    Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperingati kota Mat Salleh itu. Di tugu peringatan itu, tertulis perkataan dalam bahasa Inggeris yang bererti, ‘Tugu ini menandakan tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasukan Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbiran Chartered Company menemui ajalnya’.


    Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi pada kaca mata rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.


    Munculnya Mat Kilau

    March 26, 2008

    matkilau.jpg

    Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’. Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau.Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, Kampung Kedondong. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak.

    Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang.Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Osman yang dikenali juga sebagai Haji Muntuk sebelum dia berpindah ke Pekan sebagai Mufti Negeri Pahang.Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Mat Kilau mempunyai cara pemikiran yang matang. Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau.

    Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat. Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah Awang Nong,Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali(khatib), Awang(Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau. Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura.

    The Straits Times dan The Free Press menyatakan “Ketua Pendehaka, iaitu Dato’ Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895. The Free Press pula memberitahu bahawa “Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah”.

    Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau.akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat(Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali ,Raja Ibrahim(Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain. Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai ‘penderhaka’ oleh Inggeris,maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5,Jalan Kuantan-Gambang. Semenjak 1930 Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.

    Dalam bulan Disember 1969,Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim,memperkenalkan dirinya yang sebenar.Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai,maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau,maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid,Pulau Tawar. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah mebaca Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.

    Pengisytiharan ini telah mengemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis,6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang. Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun.


    Tok Janggut: Pejuang atau pembelot?

    March 25, 2008

    tokjanggut.jpg

    Tok Janggut atau nama penuhnya Haji Hassan bin Panglima Mat Munas yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut kerana memelihara janggut dan merupakan tokoh agama tempatan. Tok Janggut memberi penekanan kepada ajaran agama Islam menarik sokongan ramai pengikut di Kelantan.

    • Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan pemimpin tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala RM 1.00 seorang setahun, pokok buah-buahan 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung29 April 1915 kekacauan timbul di Jeram, Pasir Puteh . Puncanya ialah “musuh Tok Janggut”. Engku Besar tidak lagi berkuasa kerana diambilalih oleh Pegawai Jajahan yang dilantik oleh British. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Encik Latiff, Pegawai Jajahan yang baru adalah “orang luar” menjalankan tugasnya dengan tegas khususnya di dalam hal kutipan cukai.

    • Engku Besar membuat perundingan dengan Haji Mat Hassan bin Munas (Tok Janggut), Haji Said, Che Sahak dan Penghulu Adam, di mana keputusan untuk tidak bekerjasama dengan Kerajaan British dicapai. Tok Janggut bersama-sama rakan-rakannya mendapat sokongan sebilangan besar rakyat, dan ini membimbangkan Encik Latiff.

    • 29 April 1915, satu pasukan polis diketuai oleh Sarjan Che Wan bertolak ke Kampung Tok Akib dan menemui Tok janggut. Pergaduhan kecil berlaku di mana Sarjan Che Wan telah terbunuh. Arahan menangkap Tok Janggut dibuat oleh Encik Latiff. Tok Janggut kemudiannya menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri ke Kota Bharu.

    • Perintah menangkap Tok Janggut dikeluarkan. Bantuan tentera dari Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu tiba.Pada 6 Mei 1915 pasukan tersebut sampai di Pasir Puteh. 25 Mei 1915 serangan terhadap Tok Janggut dilancarkan di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh. Di Kampung Pupuhlah Tok Janggut terbunuh dan mayatnya di bawa ke Kota Bharu. Setelah digantung beberapa hari, di Padang Bank (Padang Merdeka) mayatnya dikebumikan di Pasir Pekan.

    tokjanggut2.jpg