Jangan Percayakan Sahabat…

April 30, 2008

Jam 4.00 ptg. aku balik dari kerja. Rileks… ku capai sebuah buku. Buku motivasi karya Shiv Khera, Anda Boleh Berjaya – terjemahan dari buku “You Can Win”.

(p/s – Shiv Khera adalah pengasas Qualified Learning System Inc. USA.
Beliau seorang pendidik, penasihat perniagaan, penceramah dan peniaga yang berjaya – berpengalaman dalam penyelidikan selama hampir 20 tahun)

Aku tertarik ngan satu artikelnya mengenai “Kisah 2 lelaki dengan seekor beruang”.

Kisahnya…

Dua orang lelaki mengembara merentasi hutan dan bertembung dengan seekor beruang. Salah seorang dari mereka segera memanjat pokok manakala yang lagi satu tidak mampu berbuat demikian (tak pandai panjat kot… hee..hee). Oleh kerana tidak pandai panjat, diapun berbaring di atas tanah dan berpura-pura mati. Beruang mencium-cium di sekeliling telinganya dan beredar.

Sahabat yang di atas pokok turun dan bertanya, “apa yang beruang itu cakap?”

Lelaki tadi menjawab, “dia kata, jangan percayakan sahabat yang meninggalkan anda sewaktu anda dalam bahaya”.

Aku tiba-tiba je terfikirkan tentang istilah “SAHABAT” .

Aku cuba menyenaraikan beberapa orang kawan.. dan meletakkannya dengan soalan, “Adakah si anu ni boleh kuanggap sebagai seorang sahabat atau hanya sekadar kawan biasa?.”
“Bagaimanakah aku ingin menjadikannya sebagai seorang sahabat? Sahabat dalam ertikata yang sebenarnya.”
“Ya, aku perlukan seorang sahabat…”

Aku baca lagi artikel dalam buku tersebut.

Menurut Shiv Khera, Persahabatan boleh dikategorikan seperti berikut:

1. Sahabat waktu gembira.
Anda adalah sahabat selagi persahabatan itu menghiburkan dan untuk bersukaria, contohnya teman ketawa.

2. Persahabatan untuk kesenangan.
Persahabatan yang dijalin untuk mendapatkan pertolongan. Persahabatan begini akan berakhir apabila orang tersebut tidak berguna lagi. Persahabatan begini tidak berkekalan.

3. Persahatan sebenar
Nilainya berlandaskan saling hormat menghormati dan kekaguman. Sahabat sebenar adalah baik terhadap satu dengan yang lain sama ada di dalam hati dan membuat tindakan yang sewajarnya. Terdapat kebaikan yang berkekalan di kedua-dua belah pihak. Ia berlandaskan tingkah laku dan juga komitmen. Memperlihatkan diri mereka… kesejahteraan mengundang sahabat, kesusahan memperlihatkan diri sebenar mereka.

Persahabatan tidak berlaku begitu sahaja, ia memerlukan masa yang dibina. Ia terbina atas kebaikan, faham memahami dan pengorbanan diri.

Aku terus menilai…. menilai erti sebuah persahabatan.

Persahabatan yang datang secara kebetulan senang didapati tetapi persahabatan sebenar memerlukan masa untuk dijalin dan tenaga untuk mengekalkannya. Persahabatan sentiasa diuji dan apabila ia bertahan, ia akan menjadi semakin kukuh..

Jangan mengambil peluang terhadap sesuatu persahabatan. Sekali ia terjalin, ia perlu dipelihara sentiasa…


Socrates & Rahsia Kejayaan

April 30, 2008

Seorang lelaki bertanyakan Socrates rahsia untuk berjaya. Socrates memberitahu lelaki muda itu agar berjumpanya berhampiran sungai pada pagi berikutnya. Mereka berjumpa. Socrates meminta lelaki muda itu berjalan dengannya ke arah sungai tersebut…

Bila airnya sampai ke paras leher mereka, Socrates merangkul lelaki tersebut secara mengejut dan membenamkan dia sekejap ke dalam air. Lelaki itu meronta untuk keluar tetapi Socrates kuat dan memegangnya sehingga lelaki itu mula hampir lemas. Socrates menarik kepalanya keluar dari air dan perkara pertama yang lelaki muda itu lakukan ialah tercungap-cungap dan menarik nafas panjang menyedut udara.

Socrates bertanya, “apakah yang paling kamu mahukan apabila kamu di sana?”

Lelaki itu menjawab, “udara”.

Socrates berkata, “Itulah rahsianya untuk berjaya. Bila kamu sangat mahukan kejayaan seperti kamu mahukan udara lalu kamu akan mendapatnya. Tidak ada rahsia lain”

keinginan yang bernyala-nyala ialah titik permulaan dalam semua pencapaian.

Seperti “api kecil yang tidak boleh memberikan banyak haba, keinginan yang lemah tidak boleh menghasilkan kesan yang sangat besar”.

”Apa saja yang fikiran manusia boleh fikirkan dan percaya, fikiran tersebut boleh dicapai.” – Napoleon Hill


“Dunia, anakku mula bersekolah hari ini”

April 29, 2008

Cuba teka gambar siapa di atas?

Berikut adalah kata-kata yang pernah diucapkannya..

Dunia, lihatlah anakku – dia mula bersekolah hari ini! Semuanya adalah asing dan baru bagi dia buat seketika. Aku harap engkau akan melayannya dengan baik. Engkau lihat hingga hari ini dia telah menjadi raja lepak. Dia menjadi ketua lorong-lorong belakang. Tapi aku sering merawat lukanya dan aku sering menenangkan perasaannya.

Tapi sekarang akan jadi sebaliknya. Pagi ini dia berjalan turun, melambai tangannya dan memulakan perjalanannya…

Untuk hidup di dunia ini memerlukan keyakinan, kasih sayang dan keberanian. Jadi, dunia, aku harap engkau bimbinglah dan ajarlah dirinya apa yang patut dia tahu. Bimbinglah dia dengan lemah lembut… dia perlu belajar. Bimbinglah ia, bahawa bagi setiap musuh di sana ada sahabatnya…

Dunia, ajarlah dia ajaibnya buku. Beri dia sedikit masa untuk berfikir tentang misteri burung yang terbang di angkasa raya, lebah-lebah di matahari, dan bunga-bungaan di gunung nan menghijau. Ajar dia bahawa adalah tidak mulia untuk menipu. Ajar dia agar ikhlas mengemukakan idea…

Dunia, cuba berikan anak saya kekuatan untuk tidak mengikut orang ramai apabila seseorang cuba menyertai pihak yang menang. Ajar dia agar mendengar bicara orang lain tetapi menapis semua yang didengar, melihat pada kebenaran dan mengambil hanya yang baik dan benar sahaja.

Ajar dia supaya tidak meletak nilai pada hati dan perasaan. Ajar dia untuk menutup telinganya pada kejayaan yang besar. Ajar dia untuk berdiri dan mempertahankan sekiranya dia fikir dia adalah benar.

Dunia, ajar dia secara lembut. Jangan manjakannya, kerana ujian kekuatan akan menjadikannya seorang yang bersifat waja. Dunia, engkau lihatlah…sesungguhnya dia adalah seorang anak yang baik…

(p/s – penulis mengolahnya sedikit sebanyak)


Pelajar harus berfikiran futuristik

April 28, 2008

1. Future Think
- Pelajar harus mampu berfikir secara kritis, kreatif, proaktif, responsif dan bertanggungjawab kepada apa yang terjadi pada hari ini. Apakah pengaruh dan akibatnya pada masa hadapan.
- Pelajar harus mampu melihat dan berfikiran jauh ke hadapan.

2. Future Focus
- Pelajar harus mampu memfokus fikiran kepada beberapa hal yang sangat berpengaruh pada masa hadapan. Pelajar harus boleh membaca trend yang timbul sebagai implikasi daripada fenomena yang ada.
- Pelajar yang menguasai future focus membolehkan tumpuan kepada sesuatu yang menguntungkan dirinya pada masa hadapan.

3. Future Plan
- Future Plan adalah perancangan strategis yang bersifat pragmatik, relevansi hasil dan dengan pendekatan pemecahan masalah serta change-engineering.
- Pelajar harus boleh merancang sekaligus menjadi jurutera kepada perubahan ke masa hadapan.

4. Future Action
- Pelajar harus memastikan segala perancangan yang futuristik dan strategis itu diimplementasikan dalam bentuk tindakan nyata yang berorientasikan masa hadapan.

5. Future Review
- Pelajar perlu sentiasa menilai kembali segala kekuatan dan kelemahan diri mahupun tindakan supaya dapat membaiki segala kekurangan yang dimiliki dengan segera.
- Pelajar harus berani mengakui kekurangan diri dan kemudian mengatasinya. Ia adalah langkah awal bagi memperoleh kecemerlangan pada masa hadapan.

Sumber:

Ahmad Zabidi Abd Razak, Memimpin Diri Sendiri, Pahang: PTS P&D, hal. 103-104.


“Jom, jalan-jalan tengok buku”

April 27, 2008

Pagi kelmarin jam 9.30 aku gi library awam. Boring duk kat rumah. Jadi aku keluar ler. Hampir 2 jam aku di sana. Ramai gak bebudak di sana. Aku tengok macam-macam gaya. Ada yang baca buku tapi ada gak yang duk sembang-sembang (apa la bebudak ni, orang gi library cari ketenangan ngan baca buku. Dia pulak duk sembang. Petugas library pulak buat dak jer…)

Sudah jadi tabiatku. Mungkin caraku. Pertama kali aku masuk library aku suka berjalan-jalan dari satu rak ke satu rak. Ini kerana aku suka baca tajuk-tajuk buku di setiap rak sepintas lalu dulu. Macam-macam aku tengok dan baca. Aku tahu ada yang kata… Don’t Judge a Book by It’s Cover . Tapi itulah caraku.

Tabiat ini sebenarnya bermula sejak aku di UKM lagi. Di U dulu tu, habis paras aku pergi. Dari paras tengah, atas, paling atas, bawah, paling bawah, semuanya aku redah….aku suka “jalan-jalan tengok buku”, baca tajuk-tajuk buku. Tak kira buku apa… dari buku psikologi, sejarah, fizik, bio, kimia, agama, pengurusan, sampailah terbitan bersiri – majalah, akhbar lama dan akhbar baru, buku di rak ASEANA, rak microfilm, jurnal, tesis… aku redah semuanya.

OPAC tak gunake? Sebenarnya OPAC pun aku guna. Tapi nak buat camana, itulah aku. Itulah cara dan gayaku… heee ..hee..

Dan satu lagi hobiku, time baca buku, aku suka gi tempat yang berbeza. Suka suasana yang baru. Ada kelainan..suasana nyaman.. heee…hee…

Kekadang ada kawan-kawan aku mengusikku…

“aaaaahhh pusing-pusing di sini ni…buat apa nii..”
“aaahhh aaa buat apa di sini ni. Ni tempat budak-budak optometrist ni…aaa.aaa .”

Aku senyum jer. Malas nak layan diorang ni.

Tapi bagi aku ler..cara “jalan-jalan tengok buku” itu berkesan gak. Buktinya bila time cari bahan / sumber rujukan. Aku lebih cepat dapat mencarinya. Aku tak payah melilau lagi mencari di mana rak buku tertentu.. Misalnya nak cari buku psikologi, aku masuk je library terus ke rak buku psikologi.. nak cari jurnal tertentu.. terus ke sana tanpa perlu melilau lagi. Berbanding ngan kawan-kawan aku, aku tengok mereka ni melilau gak cari bahan. Maklumler library tu luas. Lucu juga aku tengok kawan-kawan aku melilau sana melilau sini…heee

Betullah kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Buku boleh menjadi teman setia kita…

p/s – Pada 30 April ni aku akan ke PESTA BUKU KELANTAN 2008. Jom “jalan-jalan tengok buku” (tengok dulu kalau dah berkenan baru beli..heee…heee)


Ayah, saya mencintai dirinya bukan umurnya…

April 26, 2008

Sabtu, balik dari library awam (jam 1.20 ptg – aku sampai di rumah) dan sesudah laksanakan yang wajib, aku on TV. Ada satu tayangan filem lakonan ‘Mr. Smart’ (‘Mr. Smart’ gelaran yang diberi oleh para peminatnya).

Tertarik gak aku ngan jalan ceritanya. Aku sebenarnya dah lama tak tengok filem sampai habis cerita – maklumler asyik ke sana ke mari laksanakan tugas, kursus itu kursus ini, baca itu baca ini, klik itu klik ini. Tapi kali ini aku terus menontonnya sampai habis. Seronok gak.

Kisahnya….

Filem itu mengisahkan tentang seorang perempuan (lewat usia 34 tahun) dah jatuh hati pd. ‘Mr Smart’ yang dah berumur 64 tahun. Perempuan tu jauh lebih muda darinya. Lelaki tu diminta jumpa bapa perempuan tu. Tapi dia segan memandangkan umurnya dah tua. Mungkin sebaya ngan umur bapa perempuan tadi.

Pada satu hari, lelaki tu gagahkan juga pergi ke rumah bapa perempuan itu. Tapi dia tak sempat nak luahkan rasa hatinya kerana bapa perempuan tadi asyik bercerita… cerita tentang usia dirinya yang dah tua (58 tahun). Mungkin sebaya dengan diri lelaki tu. Selalu sakit-sakit. Selalu kena ‘servis’ kat hospital.

Pertemuan pertama ngan bapanya, lelaki tu tak dapat meluahkan apa-apa. Bila keluar dari rumah bapa perempuan tadi, barulah dia dibagitau bahawa bapa perempuan tadi muda 6 tahun dari umurnya. Lelaki tadi lagi terkejut. Lagi berat hatinya nak berjumpa dan meluahkan lamarannya pada bapa perempuan tadi yang lagi muda darinya.

w/b/p nak dijadikan cerita (memangpun cerita) ayah perempuan tadi dapat tahu juga akhirnya. Ayahnya sangat marah dan tak merestui hubungan mereka.

Kata si ayah, “ayah mahu kau fikirkan masa depanmu… dia sebaya ayah. Berapa lama lagi dia ada masa untuk hidup”.

Sebaliknya perempuan tadi (anak tunggal) membalas dengan lembut, “Ayah, saya mencintai dirinya bukan usianya” (p/s – adake lagi perempuan macam ni? ..heee.. hee)

Ayahnya diam. Masih marah dan terus dengan marahnya. Dengan egonya.

Anaknya serba salah. Dia sangat mencintai lelaki tadi. Tapi ayahnya juga perlu dijaga. Dia anak tunggal ayahnya. Ayahnya ada penyakit jantung dan kencing manis (tu yang kena ‘servis’ selalu kat hospital).

Akhirnya sebagai tanda protes, ayahnya mogok, tak mahu makan…

So, apa kesudahannya… malas aku nak teruskan. Buatlah sendiri skrip penamatnya…

Dalam fikiranku, “kisah ini sememangnya berlaku…”


lakukan sesuatu yang baru setiap hari

April 24, 2008

Khamis 24 April 2008 – balik kerja. rehat ptg. sambil rehat aku klik klik nak cuba buat sesuatu yang baru (bagi aku ler). Nak buat slide – letak dlm blog. Bukannya apa, terasa nak belajar sesuatu yang baru.
Bingung juga mulanya. Maklumler aku ni bukannya ada asas ict. Cuma suka cuba sesuatu yang baru. Klik punya klik, ..kemudian ‘publish’. Ah, mudah rupanya. Aku senyum.

Dalam fikiranku, teringat kata-kata irfan khairi – jutawan internet.

kata irfan khairi, “cuba, jangan tak cuba”.

”cuba lakukan sesuatu yang baru setiap hari. Keluar dari comfort zone anda. Jangan takut kepada kegagalan oleh kerana itu adalah penyebab utama anda tidak maju ke hadapan”

Betul kata-kata irfan khairi tu.

Ya, aku akan terus lakukan sesuatu yang baru…walaupun tugas rutin, tapi cara & pendekatan yg. baru…yes! yes! (tanda semangat ler tu)


Ya Allah ampunilah dosa kedua ibubapaku… sayangilah mereka ya Allah

April 22, 2008

“Ya Allah jangan kau lupakan aku terhadap jasa kedua orang tuaku.
Ampunilah mereka, sayangilah mereka sebagaimana mereka memelihara aku di masa kecil”

Sesungguhnya jasa orang tua kita tidak terhitung banyaknya. Ibu kita mengandung selama 9 bulan kemudian melahirkan kita dengan risiko nyawa melayang. Ketika kita masih bayi tak berdaya, mereka beri kita minum dan makanan. Ketika kita buang air, tanpa jijik mereka membersihkan kita dengan penuh rasa cinta. Kita diberi pakaian dan juga pendidikan.

Mereka sabar menghadapi kemarahan kita, rengekan, kenakalan, bahkan mungkin ketika kita masih kecil kita pernah memukul mereka. Mereka tetap mencintai kita. Jadi jika kita merasa kesal dengan mereka, apalagi jika mereka begitu tua sehingga kelakuannya kembali seperti anak-anak, ingatlah kesabaran mereka dulu ketika menghadapi kita.

Adakah kita mampu membalasnya? Bahkan seandainya orang tua kita tak berdaya sehingga untuk buang air kita yang membersihkannya, itu tidak akan sama. Orang tua membersihkan kita dengan penuh rasa cinta dan harapan agar kita selamat dan panjang umur. Sementara si anak ketika melakukan hal yang sama mungkin akan merengut dan bertanya bilakah “ujian” itu akan berakhir.

Begitulah. Seperti kata pepatah, “Kasih anak sepanjang badan, kasih ibu sepanjang jalan” Tidak dapat dibandingkan.

Oleh kerana itu hendaknya kita berbakti pada orang tua kita. Malah hendaklah sentiasa kita mendoakan mereka.

“Apabila anak Adam wafat putuslah amalnya kecuali tiga iaitu sedekah jariyah, pengajaran dan penyebaran ilmu yang dimanfaatkannya untuk orang lain, dan anak yang mendoakannya. (HR. Muslim)

Jika kita tidak berdoa untuk orang tua kita, maka putuslah rezeki kita.

Apabila anak meninggalkan doa bagi kedua orang tuanya maka akan terputuslah rezekinya. (HR. Ad-Dailami)

Oleh kerana itu sebagai seorang anak hendaklah kita senantiasa berdoa untuk kesejahteraan kedua ibu bapa kita. amin…


Kisah dua orang kaya ngan pemandunya

April 22, 2008

Suatu hari ada dua orang kaya sedang duduk di cafe, sambil menggosip pemandunya.

Orang kaya I: “Hei, kau tau tak, pemandu aku ini bodohnya setengah mampus ! Kalau kau tak percaya cuba lihat nie.”

Terus dia panggil pemandunya si King Kong “King Kong, ini 10 ringgit, pergi ke kedai kereta, dan belikan aku Mercedez.”

King Kong pun menjawab dengan sopan, “Yes Sir !! Right A way !!”
Dengan pantas terus ke kedai kereta.

Orang kaya I itu beritahu ke temannya, “Nampak? Apa aku cakap….dia buat betul-betul”

Orang kaya 2: “Haha….itu belum apa-apa, kau nak tengok, pemandu aku lagi teruk dari itu. Biar aku tunjukkan pada kau.” Terus orang kaya 2 memanggil pemandunya Rambo.

“Rambo, pergi ke rumah aku, cuba lihat sama ada aku ada kat rumah ke tidak ?”

Rambo: “Yes Sir !! Right A Way !!” dan dia terus cabut ke rumah tuannya.
Orang kaya 2 beritahu kepada temannya tadi, ” Nampak apa yang aku cakapkan ? Dia tak ada otak untuk berfikir, mana boleh aku ada di dua tempat yang berbeza dalam satu masa.

Tidak berapa lama kemudian, kedua pemandu itu bertemu di jalan.

King Kong: “Ehh you know, my boss is very stupid laaaahhh. Dia bagi aku 10 ringgit dan suruh aku beli mercedez di kedai kereta, mana boleh ?? Kau kan tahu sekarangkan hari minggu. Semua kedai kereta tutup!!”

Rambo: “Kau fikir boss kau stupid ha? boss aku lagi stupid!! Adake dia suruh aku balik rumah lihat, apakah dia ada di rumah atau tak…..Padahal dia kan boleh check sendiri. telefon je la ke, sms je ke…


Cara nak bikin seronok bila bekerja & tingkatkan harga diri

April 20, 2008

Jam 8.30 pagi – 12.30 tgh (sabtu 19 apr). Aku hadiri kursus peningkatan profesionalisme. Seronok gak sebab penceramah orang lama. Dah nak pencen. Pensyarah IPG KB. (aku panggil tn hj) Aku tertarik ngan ceramahnya berkenaan “keseronokan di tempat kerja – cara utk meningkatkan harga diri”.

Gaya penyampaiannya yg bersahaja ngan selitan pengalaman tu sungguh menarik. Org lama katakan. Nah berikut apa yg sempat aku catatkan. Kita kongsi sama-sama.

kata tn hj, ramai antara kita tak rasa bersyukur ngan kerja tetap kita. Kita sepatutnya syukur ngan nikmat Allah s.w.t. Kita sepatutnya bersyukur ngan nikmat yg ada pd diri kita. Ngan apa yg kita ada. Ngan kerja yg kita dpt.

Tn hj telah bagi 12 cara tingkatkan harga diri.

1. Bina keyakinan diri
Tn. Hj kata orang yakin diri ada 3 iaitu ABC (A – adab, B – bantu, C-ceria)
Kita mesti beradab dlm apa saja…jumpa orang, tgh makan, cara berpakaian, cara berjalan, cara bercakap….bla bla bla…

kita juga hendaklah ringan tulang, suka membantu, ada ilmu suka berkongsi, ada duit lebih sedekah. Org yakin diri ni dia sentiasa ceria. ceria bila buat sesuatu kerja. Ngan sapa-sapa. Ceria bila bantu org lain.

2. Dampingi diri orang lain, orang lain akan dampingi kita pula.
kita mesti dampingi orang jika mahu org lain dampingi kita pula. Kita tak boleh sendiri-sendiri hidupni. Kita perlukan kerjasama org lain. perlu bantuan org lain.

3. Elakkan diri drp. kesempurnaan
Ingat pesan ni
“lupakan keburukan org pd kita sebaliknya kita ingat kebaikan org pd kita”
“Kita sentiasa ingat perkara buruk yg kita buat pd org lain & Kita lupa kebaikan yg kita buat pd orang lain”
– Jika kesempurnaan dititikberatkan, kita mungkin kecewa bila gagal capainya

4. Jaga perawakan diri
Jgn perlihatkan diri yg kusut ketika berdepan ngan masalah tapi sebaiknya mengemaskan diri supaya perasaan tak terus menekan diri.

5. Dapatkan kerehatan
Rehatkan minda dan fizikal. Kawal pernafasan ngan bacaan ayat suci al-Quran. Jgn lupa sembahyang sunat…

6. Hormati diri
Cuba anda senaraikan 50 ciri ttg diri anda yg positif?
Jika anda tak dpt senaraikan semuanya, fikir seseorang yg pernah beri pdgn ttg diri anda. senaraikan dan nilaikan.

7. Utamakan diri
lakukan sesuatu yg boleh mengembirakan diri . Setiap hari. Segi kerja, buat kerja ngan ikhlas, bersungguh-sungguh. bla..bla..

Jwb soalan di bwh ni
i. bagaimana anda sayangi diri anda?
ii. bagaimana anda berterima kasih pd diri anda sendiri?
iii. apakah hadiah yg pernah anda berikan pd diri anda sendiri?

8. Cabar potensi diri
kita perlu lakukan sesuatu yg belum pernah kita lakukan tapi mencabar dan menyeronokkan (buat yg baik jer)

9. Cari keistimewaan kita
Apabila kita tertekan / hadapi masalah, kadang-kala kita secara spontan dpt ilham utk menyelesaikannya. Ini sebenarnya keistimewaan yg ada pd kita tanpa kita sedari. Perkukuhkannya.

10. Jadikan seorang yg optimis

Ingatlah “tiada sesuatu keadaan yg tak boleh berubah kecuali apa yg dah ditentukan oleh pencipta”
Kita selalu silap kerana “kita bersungguh ngan perkara yang sudah tentu tapi tak bersungguh ngan perkara yg belum tentu”. fikir-fikirkanlah.

11. Hindari sikap prasangka
hidupni, jgn terlalu sensitif. Berbaik sangkalah selalu. kalau ditegur (kena marahke, kena herdikke apa-apa je yg buat kita rasa tersentuh), anggaplah ia nasihat yg baik (kalau takpun buat dakje)

12. Bertindak sejajar ngan nilai

Kadang-kala konflik nilai boleh berlaku. Terokai diri. Cuba prihatin ngan nilai tersebut.

P/s – Kesimpulannya, kita hdklah buat sesuatu yg menyeronokkan kita. Bila buat kerja, kita mesti seronok. Bila berbicara kita mesti seronok. Blaa..bla.. (byk sangatler)

Ngan kata lain, kita mesti seronok baik di tempat kerja, rumah, luar rumah, ngan kawan-kawan, ngan sapa-sapa, dimana-mana jer…(seronok yg baik jer tau)